Sepanjang perjalanan balik ke Kampung Ulu Sayong, pada awalnya Malissa dan Sham tidak banyak berbicara sekadar membincangkan keadaan sekeliling kampung yang mereka tempuhi semasa menaiki basikal. Namun Malissa memecah kebuntuan perbualan mereka yang agak terhad itu “Sham, saya nak tanya sikit boleh ?” Secara spontan Sham menjawab “Boleh. Nak tanya apa-apa pun boleh, janji tak ada yang peribadi.” Sham sedar dia harus berhati-hati. Silap cakap, kemungkinan rahsia tentang dirinya yang sebenar mungkin akan terbocor secara tidak langsung. “Ok. Saya tak tahu kenapa tak boleh. Tapi tak pa. Ok…..Kat mana awak belajar cakap Bahasa Ingerris dengan begitu baik sekali ?” Sham menelan air liur kerana dia tidak menyangkakan soalan yang baru di kemukakan oleh Malissa. Dia sedar jika dia tersilap menjawab, besar kemungkinan ianya akan memakan dirinya. “Macam mana aku nak jawab nih, silap jawab kantoi aku kali ni.” Sham berkata-kata dengan dirinya sendiri. Dia harus menjawab soalan itu, mendiamkan diri akan juga mendatangkan teka teki terhadap dirinya sendiri. “Mana ada English saya baik, biasa je. Masa saya kerja kat Kuala Lumpur dulu, ada Mat Salleh nie……dia kerja sama ofis dengan saya. Masa tu saya jadi office boy. So dia tengok saya terkial-kial bila bertutur dalam Bahasa Inggeris, jadi dia tolong betulkan setiap pertuturan saya. Lama-kelamaan saya dapat bertutur dengan baik….orang kata boleh faham sikit-sikit. Memang susah la, sebab saya ni mana la pandai sangat. Belajar pun sampai sekolah menengah je. ” Sham berharap Malissa akan percaya dengan kelentongnya. Sekurang-kurangnya dia tahu penjelasannya tadi jelas dan tidak ada yang tersekat-sekat. Dia tahu walaupun cerita itu tidak ada langsung kebenarannya, namun ianya agak menyakinkan. Malissa hanya mendiamkan dirinya kerana jawapan yang diberi oleh Sham nampak menasabah walaupun Malissa masih was-was dengan penjelasan itu. Sham tidak dapat mengagak akan reaksi Malissa yang sebenarnya kerana dia duduk dibelakangnya. “Sham orang sini ke ?” Sham berasa lega. Nampaknya topik bahasa inggeris tidak lagi perkatakan dan nampaknya penjelasannya tadi telah diterima oleh Malissa. “Tak. Saya di lahirkan di KL. Tapi ibu saya sekarang duduk di Kluang. Adik-beradik di merata tempat. Boleh katakan bersempah la.” Sham mesti berhati-hati dengan jawapannya. Silap langkah, sudah pasti Malissa akan bertambah syak sesuatu yang tidak kena dengan dirinya. “Dah lama kerja kat KL ?” Malissa merasakan inilah peluang beliau untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang Hisham yang selama ini menjadi misteri kepadanya. “Lama juga, lebih kurang 11 tahun. Tapi kerja sana sini lah sebab saya tak berpelajaran tinggi, kerja sekadar nak cari makan dan dapat bagi sikit duit kat mak di kampung.” Malissa terus mendengar penjelasan Hisham. “Lama juga tu. Kenapa tak belajar lagi ? Saya rasa Sham bukan tak bijak.” Malissa sebenarnya cuma mengumpan Sham. Dia tahu ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Sham tentang dirinya. Cuma Malissa tidak tahu apakah rahsia itu sebenarnya. “Memang lah kalau ada peluang. Tapi mana saya nak cari duit. Keluarga saya bukan orang senang. Nak belajar sekarang ni bukan murah. Lagipun gaji saya bukan besar sangat, campur OT setiap bulan boleh dapat dalam RM1200/RM1300. Duduk KL lagi, faham saja. Duit pun nak kena simpan juga. Memang sukar la. Malissa orang sini ?” Hisham cuba mengalih perhatian ke atas dirinya kepada Malissa dengan menumpukan soalan terhadap diri Malissa pula. “Memang asal orang sini. Ayah saya memang duduk sini dah lama. Sudah hampir 25 tahun.” Hisham tidak mahu memberi peluang untuk Malissa mencelah dengan soalan-soalan lain. “Berapa lama dah kerja kat kilang ayah awak tu ?” soal Sham lagi. “Dah 2 tahun lebih sejak tamat belajar. Ayah tak mahu saya bekerja di tempat lain. Dia kata lebih elok kalau bekerja dengan keluarga. Bisnes sendiri. Untuk keluarga. Sebelum ni ayah saya adalah pemborong hasil-hasil pokok herba. Lepas tu tanah ayah diambil oleh pihak swasta untuk pembinaan lebuhraya di Johor. Dengan wang pampasan itulah ayah telah membuka kilang ubat tradisional berasaskan herba ini. Dia telah mendapat bantuan dari PUNB serta kepakaran dari Universiti Putra Malaysia dan MARDI. Lagipun dia nak kilang ni menjadi punca rezeki untuk anak-anak dan keluarganya.” Sepanjang perjalanan, perbualan antara Sham dan Malissa menjadi lebih rancak, mereka sudah berasa lebih selesa dan sudah memecahkan halangan awal yang memisahkan mereka dari mengenal antara satu sama lain. Mereka tidak menyedari yang mereka pun sudah sampai di depan rumah ayah Malissa di Kampung Ulu Sayong. Kelihatan Abang Malissa dan Nizam berada di depan rumah. Mereka sama-sama memandang ke arah Sham dengan reaksi muka yang amat kurang senang seolah-olah Sham sudah melakukan satu kesalahan. Jelas sekali keadaan yang mereka lihat tidak digemari langsung oleh mereka. Hisham tahu dia harus berhati-hati menghadapi mereka. Abang Malissa menghampiri mereka dan bertanya kepada Malissa apa yang telah berlaku. Dia tidak memperdulikan kehadiran Sham, malah umpama Sham tidak wujud pada masa itu. “Mana kereta, Lisa ?” suara Abang Malissa agak keras bunyinya. “Kereta rosak kat batu 11 tadi. Kenapa abang tanya macam nak marah je ?” Malissa sedar, sebenarnya suasana melihat Malissa menaiki basikal dengan seorang lelaki yang mereka tidak kenali amat tidak menyenangkan. Abang Malissa tidak mengambil peduli akan kata-kata Malissa itu dan meneruskan pertanyaannya. “Kau buat apa kat situ ?” Jelas sekali Abang Malissa ingin mencari kesalahan dalam hal tersebut. “On the way nak ke rumah Siti. Ada hal sikit.” Sham menyedari kehadirannya sudah ‘menghangatkan suasana’. Sham berasa amat pelik apa salahnya. Kenapa mereka ini sombong sangat dan berlaku biadap terhadap dirinya. “Kenapa dia ni bawa kau atas basikal pulak ?” Memang jelas Abang Malissa amat kurang senang dengan Sham yang membonceng adiknya tadi. “Abang ni. Macam mana Lisa nak balik, jalan kaki ? Kalau tak da Sham tadi, susahla Lisa.” Malissa memberi penjelasan sambil mempertahankan Sham dengan secara tidak langsung. “Dah…pergi masuk kedalam.” Dengan nada yang agak kasar Abang Lisa memberi arahan. Kemudian tanpa diduga dengan kasar dia berkata kepada Hisham “Yang kau tunggu kat sini, nak apa lagi, kau nak upah ke ?” Abang Lisa memerhatikan Sham yang masih terpaku di situ. “Tak. Maafkan saya. Cuma nak beritahu yang kereta tu hanya perlu tukarkan spark plug cable, dah rosak.” Abang Lisa seolah-olah tidak memperdulikan dan mengendahkan dengan apa yang diberitahu oleh Sham dan langsung tidak menunjukkan apa-apa jua reaksi yang positif. Malah sudah jelas dia mahu menghalau Sham supaya meninggalkan perkarangan rumah mereka. Tanpa membuang masa, “Saya minta diri dulu.” Tanpa berkata apa-apa lagi, Sham pun beredar dengan menolak basikalnya keluar dari perkarangan rumah Haji Rahman. Sham baru sampai didepan pintu pagar rumah apabila Haji Mansor pulang dengan motorsikalnya. “Assalamualaikum Sham…..? Datang cari pakcik ke ?” Sham tahu kepulangan Haji Rahman secara tiba-tiba dalam keadaan yang agak tegang itu menyebabkan semua ahli keluarga menjadi lebih tidak berpuas hati apatah lagi dengan cara Haji Rahman menyambut kehadiran Hisham dirumahnya. Ianya amat berbeza dari resepsi yang baru dia terima sebentar tadi. Sham tidak berkata apa-apa kerana dia tidak mahu mencetuskan ketegangan diantara ahli keluarga Haji Rahman. Namun dia tahu, anak-anak Haji Rahman serta isterinya tidak berani membantah atau membangkang akan kehendak Haji Rahman. “Kenapa tak naik ke rumah. Marilah jemput naik…..tak kan Sham tak sudi naik rumah kampong pakcik ni. Yah, tolong buat air untuk tetamu kita ni. Yang kau orang semua tercegat kat sini buat apa…..?” Haji Rahman menegur dan menyergah anak-anaknya yang masih lagi tercegat diluar. Dia tahu mereka tidak senang dengan kedatangan Hisham kerana dia cukup kenal perangai dan hati budi anak-anaknya dan isterinya. Buat dirinya perasaan mereka sudah tidak penting. Tapi yang penting dia harus menjaga hati tetamunya. “Duduk la Hisham buat macam rumah sendiri. Pakcik minta diri kejap, nak tukar pakaian.” Kelibat anak-anak Haji Rahman sudah tidak lagi kelihatan, kecuali Mallisa dan Makcik Yah, isteri Haji Rahman. Memang benar kata-kata Haji Rahman tempoh hari, isteri beliau, anak lelaki sulung, Mohd Rizal dan anak perempuan sulung Mastura sememangnya sombong dan angkuh. Mohd Ridzwan, anak lelaki yang bongsu, adalah seorang yang pendiam dan dia lebih dengan dunianya sendiri dan rakan-rakannya. Dia tidak banyak berinteraksi dengan ahli keluarganya. Malissa pula keras hati dan degil, tapi dia tidaklah sombong seperti adik beradiknya yang lain. Adik perempuan yang bongsu, Marleena masih lagi diluar negeri dan akan menamatkan pengajiannya tidak lama lagi. Dari apa yang diberitahu oleh Haji Rahman tempoh hari, Marleena amat berbeza sekali dari adik-beradik yang lain. Dia lebih mesra, liberal dan berpandangan terbuka. Sham dapat merasakan yang Marleena mungkin anak yang paling rapat dengan ayahnya Haji Rahman.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment