Monday, March 12, 2007

Pengorbanan Yang Sepi - Chapter 2

Hari sudah hampir gelap. “Sham, aku kena minta diri dulu. Hari pun dah nak masuk waktu Maghrib. Kita akan jumpa lagi.” Sambil Amran menuju ke arah pintu depan rumah. “Terima kasih Amran kerana memberi pertolongan tadi. Ya……no problem. insyallah kita akan berjumpa lagi.” Amran dan Hisham bersalaman sambil memberi salam kepada satu sama lain. Amran terus menaiki motorsikalnya dan dia hilang dari pandangan Hisham ditelan suasana petang yang hampir gelap itu. Malam tu Sham sibuk membersihkan rumah tersebut. Nasib baik dia telah membawa sedikit bekalan makanan termasuk beberapa bungkus mee maggi, kalau tidak sudah tentu dia kelaparan malam itu. Keesokan paginya, Sham seperti biasa bangun awal. Setelah menunaikan solat Subuh, dia meneruskan kerja mengemas rumah tersebut yang mana ditangguhkan kerana terlalu penat semalam. Sham telah terjumpa basikal peninggalan arwah Pakcik Mansor yang tersimpan dalam keadaan baik di bawah rumahnya. “Mmmmm…masih lagi elok. Cuma nak kena servis sikit, boleh aku pakai, ronda-ronda kampung ni.” bisik hati Sham. Pagi itu Sham telah pergi ke kedai berhampiran dengan rumah arwah Pakcik Mansor untuk bersarapan pagi. Kehadirannya mendapat perhatian beberapa pengunjung disitu yang mana juga penduduk mastautin kampung. Namun, mereka tidak menyapanya ataupun menganggunya, mereka hanya sekadar memerhatikan gerak-geri Sham yang jelas bukan lah orang kampung tersebut. Walaupun keadaan itu sebenarnya tidak berapa selesa namun layanan yang diberi oleh tuan punya kedai itu membuat Sham terlupa akan keadaan sebenarnya. Sham telah sempat juga membeli beberapa barangan dapur yang diperlukannya semasa perjalanan pulang ke rumah Haji Mansor.

Sham sedang menikmati air milo ais sambil menonton televisyen apabila terdengar orang memberi salam di luar rumah. “Assalamualaikum…..” “Wa’alaikum salam…..” Sham bangun lalu melihat dua orang berpakaian baju melayu berpelikat serta berkopiah putih berada di kaki tangga rumah. Belum sempat Sham bersuara, kedua tetamu itu terlebih dahulu memulakan perbualan “Maafkan kami kalau menganggu, saya Haji Zainal dan yang ini Haji Wahab. Kami ni ahli jawatankuasa masjid Kampung Ulu Sayong.” Sham amat mengerti akan kedatangan mereka. Sudah tentu mereka adalah wakil orang kampong yang ingin merisik dan mengambil tahu siapakan Sham sebenarnya dan tujuannya ke kampung mereka. Belum sempat mereka meneruskan kata-kata mereka, Sham mempelawa mereka masuk ke dalam “Sila naik ke rumah.” Sham menjemput mereka naik ke atas rumah sambil menghulurkan tangan dan memperkenal dirinya. Setelah mereka sama-sama duduk bersila, Haji Zainal pun meneruskan tujuannya datang menemui Sham “Sebenarnya tujuan kami datang ke sini adalah untuk berkenalan dan merapatkan siratul rahim dengan orang baru di kampung ini. Rumah ini dulu adalah kepunyaan Haji Mansor, namun sejak dia meninggal dunia, rumah ini dijaga oleh Haji Yassin. Kemudian Haji Yassin pula meninggal, dah hampir tiga tahun juga rumah ini tidak berpenghuni. Jadi kami ingin tahu siapa gerangan penghuni baru rumah ini.” Ianya sepertimana yang telah dijangkakan oleh Hisham “Maafkan lah saya Tuan Haji Zainal dan Tuan Haji Wahab, kalau kedatangan saya ke kampung ini dalam keadaan yang agak mengejut dan mungkin telah membuat orang-orang kampung di sini merasa kurang senang ataupun telah menganggu serba sedikit kehidupan harian mereka. Sebenarnya tujuan saya ke sini sekadar nak melihat keadaan rumah ini yang telah ditinggalkan oleh pakcik saya.” “Jadi anak ni…..anak saudara Pakcik Mansor ?” Sambil mengangguk, Hisham pun menyambung perbualannya “Ya.” Haji Zainal dan Haji Wahab berasa gembira kerana ada juga orang di percayai oleh Haji Mansor datang untuk menjenguk keadaan rumahnya yang telah ditinggalkan. “Kami kenal arwah Tuan Haji Mansor, tapi saudara mara atau kaum keluarganya, kami tidaklah berapa kenal. Yang kami tahu, masa dia sakit tenat dulu, saudara-maranya telah datang dan membawa dia ke Kuala Lumpur untuk mendapat rawatan di hospital swasta disana. Namun lepas itu, kami diberitahu oleh Tuan Haji Yassin yang Tuan Haji Mansor sudah meninggal dunia dan dia telah kebumikan di Kuala Lumpur.” Sham memahami akan keadaan yang diperkatakan oleh kedua-dua orang tua tersebut. Mereka sebenarnya terkilan kerana tidak dapat bertemu dengan Haji Mansor sehingga dia meninggal dunia. “Memang benar pakcik. Adik-beradik pakcik saya yang datang mengambilnya disini. Rumah ini sebenarnya pada asalnya milik datuk saya. Kemudian dia telah diwasiatkan dan diberikan pada pakcik saya. Rumah ini harta pusaka keluarga kami, jadi sekarang saya adalah pemiliknya.” Sham memberi penerangan. “Minta maaf sekejap Tuan Haji, saya nak ke dapur sebentar.” Hisham serba salah kerana mereka hanya berbual kosong. Sememangnya air teh tu ada. “Tak payahlah nak. Kami dah minum di warung Pak Seman tadi.” Kedua-dua tuan haji itu menolak akan pelawaan Sham untuk minum. “Tak apa Tuan Haji, sekejap je. Tak sedap pulak tetamu datang kalau kita tak jamu, sekurang-kurangnya minum.” Jelas sekali kedua-dua orang tua itu tidak mahu menyusahkan Hisham. “Tak apa. Duduklah Sham.” Kedua-dua Tuan Haji memaksa Sham tidak berbuat apa-apa untuk mereka. “Kami sebenarnya gembira dan berbesar hati kerana rumah ini sudah ada penghuninya dan juga tuan miliknya bukan orang lain, tapi asal orang kampung ni juga. Berapa lama anak akan berada di sini ?” Perbualan mereka diteruskan. “Saya tak berapa pasti pakcik. Buat masa ini saya tidak bekerja dan sedang bercuti buat seketika. Mungkin sebulan dua, lepas itu mungkin saya akan bekerja semula. ” Haji Zainal dan Haji Wahab hanya mengangguk tanda mereka memahami penjelasan Sham. Sejurus kemudian mereka pun meminta diri sambil menjemput Sham datang masjid untuk berjemaah di sana.

No comments: