Tuesday, March 20, 2007

Pengorbanan Yang Sepi - Chapter 15

Beberapa hari telah berlalu sejak pemecatannya yang tidak dijangka, Hisham mengambil keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur hujung minggu depan. Dia ingin menyelesaikan beberapa perkara mengenai rumah pesaka yang ditinggalkan kepadanya oleh arwah Pakcik Mansor. Imam dan Bilal masjid telah pun bersetuju untuk membantunya.

“Assalamualaikum ?” Pakcik Rahman menegur Sham. “Wa’alaikum salam…..eh…pakcik…..apa khabar ?” Sham sebenarnya dalam perjalanan balik dari masjid setelah selesai solat Isyak malam itu. “Pakcik alhamdulillah. Tapi Sham macam mana, lama tak nampak ? Kenapa tak datang ke rumah ?” Sham tidak mahu memberitahu perkara yang sebenar yang telah berlaku. Dia pasti Pakcik Rahman masih lagi tidak tahu tentang pemecatannya. Sebelum ini, Sham sudah beberapa hari tidak ke masjid kerana dia mahu mengelak dari berjumpa dengan Haji Rahman. Tanpa bertemu dengan Pakcik Rahman, dia tidak perlu menjelaskan apa-apa sehinggalah dia pulang ke Kuala Lumpur. “Saya sibuk sikit pakcik. Saya tengah nak selesaikan hal rumah pesaka ini.” Pakcik Rahman musykil. Adakah Sham sudah mahu menjual rumah pesaka tersebut. “Kenapa, Sham nak jual rumah tu dan nak balik ke KL ke ?” Sham mampu tersenyum setelah mendengar kata-kata Pakcik Rahman. “Lebih kurang macam tu la pakcik, tapi rumah itu saya bukan nak jual, saya cuma nak cari orang yang boleh jaga rumah tu, lagipun saya tak boleh nak duduk lama-lama kat sini. Kerja kat ‘sana’ dah lama saya tinggalkan.” Perbualan mereka terganggu seketika dengan suara panggilan dari seorang wanita “Ayah…ayah….kenapa tak tunggu Leena tadi ?” Muncul seorang wanita berbaju kurung dan bertelekung putih menghampiri Sham dan Haji Rahman dalam keadaan tercungap-cungap keletihan kerana berlari anak-anak. “Ini sudah pasti Marleena, anak bongsu Haji Rahman yang baru balik dari luar negeri yang diperkatakan sebelum ini” bisik hati Sham. Kehadiran Marleena sedikit sebanyak menganggu tumpuan Sham terhadap perbualannya dengan Haji Rahman. Haji Rahman hanya tersenyum melihat kelibat Marleena yang berlari ke arahnya. “Ha….Leena ni ayah nak kenalkan anak saudara arwah Haji Mansor, Hisham….Sham, ini Marleena anak pakcik yang baru balik dari luar negeri tu, Marleena….” Sham hanya mengangguk sambil senyum tanda dia gembira dapat berkenalan dengannya. Marleena membalas senyuman Sham itu. Namun jelas Marleena merasa kekok memandangkan Hisham tidak pernah dia berjumpa sebelum ini. “Sham, jom ikut pakcik balik ke rumah, kita makan malam bersama.” Marleena sebenarnya terkejut dengan pelawaan ayahnya. Siapa Hisham ini sehinggakan ayahnya sanggup memperlawa beliau untuk makan malam. Setahunya ayah tidak pernah membawa sesiapa ke rumah atas apa jua hal. Dia merasakan jemputan yang buat oleh ayahnya seolah-olah mempunyai niat yang lain. “Tak mengapa la pakcik, terima kasih….mungkin lain kali saja. Saya sebenarnya nak ke rumah Amran malam ini, ada hal sikit nak bincang sebelum saya balik kesana.” Marleena berasa lega dengan tolakan Sham kerana dia tahu keluarga bukan macam keluarga orang lain. “Ehmmm….kalau macam tu tak pa la Sham. Tapi lusa pakcik nak minta tolong sikit boleh ?” Sham agak terkejut dengan permintaan itu. “Insyallah…” namun belum sempat Sham menanyakan akan tentang bantuan yang diperlukan, Pakcik Rahman terlebih dahulu menjelaskannya. “Lusa, Marleena ada temuduga di KL, jadi kalau boleh pakcik nak minta Sham temankan dia sebab dia tak biasa dengan KL tu.” Leena amat terkejut dengan permintaan yang buat oleh ayahnya. Setakat KL tu dia tak perlukan pertolongan sesiapa, bukan ayahnya tidak tahu yang Leena sendiri telah berada di kota Seattle selama 5 tahun. “Alah ayah ini….kan Leena dah cakap, Leena boleh pergi sendiri, Leena dah besar. Apa lah ayah ni, buat malu je.” Marleena tidak faham kenapa ayahnya berbuat macam tu dan beliau berasa amat malu dengan Hisham. “Apa pulak Hisham fikir nanti ? Nanti dia ingat aku ni macam anak manja, mengada-ngada.” Bisik hati Marleena. “Leena, Hisham ni orang KL. Dia kerja kat sana dan dia biasa dengan keadaan kat sana. Apa salahnya, KL bukan macam kau tinggalkan dulu. Banyak dah berubah.” Marleena tahu dia tak boleh berbuat apa-apa, ayahnya dah memberi kata putus. “Jadi…..nanti Marleena akan datang jemput kat rumah Sham lusa jam 8 pagi. Okay…pakcik nak minta diri dulu, Assalamualaikum ?” Pakcik Rahman berpuas hati kerana hasratnya untuk merapatkan anaknya Marleena dan Hisham akan menjadi kenyataan. “Wa’alaikum salam…..” Sham memerhatikan mereka berlalu sehingga hilang dari pandangan. Sham teringat akan kata-kata anak Haji Rahman tempoh hari. Dia tahu amat sukar baginya untuk “menarik dirinya” kerana dia sudah melepasi persimpangan di mana sukar untuk berpatah balik, Haji Rahman terlalu baik orangnya dan dia tidak sampai hati jika tidak membantunya.

No comments: